Orang yang rohaninya masih terkurung di dalam bola dunia tidak terlepas dari gangguan warna syaitan. Syaitan sentiasa sahaja memancarkan cahayanya bagi mengelirukan pandangan hati. Syaitan mempunyai berbagai-bagai cara dalam memesungkan manusia dari jalan Allah s.w.t. Kejayaan syaitan yang paling besar adalah jika dapat mengheret manusia melakukan kederhakaan kepada Allah s.w.t dengan berbuat syirik. Jika ia gagal berbuat demikian ia tidak akan membiarkan hamba-hamba Allah s.w.t berjalan dengan senang lenang di atas jalan yang lurus.
Syaitan akan mengenakan berbagai-bagai tipu muslihat terhadap manusia yang sudah timbul keinsafan untuk berbuat taat kepada Allah s.w.t. Syaitan tidak melawannya dengan kekerasan. Orang ini akan dihadapi dengan lemah-lembut dan pujuk rayu. Perhatian orang tadi dialihkan daripada apa yang dia ingin lakukan kepada apa yang dia sudah lakukan. Syaitan memperlihatkan kepadanya betapa besarnya kebaikan yang pernah dilakukannya Ditiupkan ke dalam hati orang itu bahawa dia sebenarnya sudah berada di atas jalan yang lurus. Syaitan membuktikannya dengan memperingatkannya tentang segala kebaikan yang telah dilakukannya. Telah ramai orang yang ditolongnya, semuanya dia masih ingat. Telah banyak sedekah yang dikeluarkannya, semuanya dia masih ingat. Dia juga biasa bersembahyang, walaupun dia juga biasa meninggalkannya. Dia tertinggal sembahyang bukan kerana cuai, tetapi kerana kesibukan dan tidak disengajakan.
Banyak lagi perkara-perkara baik yang diulang tayang oleh syaitan. Syaitan terus membuaikan hatinya sehingga dia merasakan yang dirinya tidaklah seburuk yang disangkakannya ketika mula-mula datang keinsafan tadi. Hilanglah kesedihan yang mengacau jiwanya lantaran menyangka yang dia memang sudah berada dalam golongan yang taat. Keinginan yang membara tadi sudah mula malap dan akhirnya padam terus. Dia kembali kepada kehidupannya sebagaimana sediakala.
Begitulah cara syaitan memperdayakan manusia. Mula-mula ditiupkan waswas ke dalam hati, kemudian dibentuknya sangkaan-sangkaan yang menutup kebenaran. Manusia pun menurut sangkaan dengan meyakini bahawa apa yang dituruti itu adalah kebenaran. Begitulah yang terjadi kepada orang yang melihat kepada amal secara lahiriah sahaja. Penglihatannya tidak sampai kepada roh amal itu.
sumber : http://alhikam0.tripod.com/hikam086.html